26 Oct 2012

Hormati Rumah Allah (Situasi 25)

Bismilahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Hari ini saya tertarik untuk menulis tentang situasi  yang saya alami di rumah Allah iaitu di surau atau di masjid. Lazimnya jika ada kuliah sekitar jam dua petang saya akan menunaikan solat di surau yang terletak di kampus UPSI. Surau biasanya akan penuh dengan pelajar memandangkan waktu tersebut adalah waktu puncak. Namun apa yang saya kesalkan adalah apabila sesetengah pelajar tidak menghormati rumah Allah tersebut.
    
     Apa yang saya maksudkan dengan sikap tidak menghormati rumah Allah ini ialah sikap pelajar yang menjadikan surau sebagai tempat berbual-bual kosong. Mungkin tak mengapa jika surau tersebut lengang dan hanya ada beberapa pelajar di dalamnya. Namun hal yang ini kerap berlaku pada waktu pucak. Ketika ramai pelajar hendak bergilir menunaikan solat. Terdapat segelintir pelajar yang mementingkan diri dan berbual-bual di dalam surau. Nada suara yang digunakan juga adalah tinggi dan mengganggu pelajar lain yang hendak menunaikan solat.

    Pada pendapat saya pelajar seperti ini sepatutnya sedar bukan hanya mereka yang menggunakan surau tersebut. Malahan ada juga peringatan di dinding yang meminta supaya pengguna surau menghormati surau tersebut. Namun malangnya mungkin peringatan tersebut tidak dibaca oleh mereka yang mementingkan diri tersebut. Jujurnya pada pendapata saya mentaliti pelajar institusi pengajian tinggi seharusnya lebih matang dan cukup bijak untuk memikirkan hak orang lain. Namun malangnya masih ada sesetengahnya yang belum sampai ke tahap tersebut.

    Saya pun bukanlah insan yang sempurna seratus peratus. Masih kurang serba serbinya. Namun, adab kita sesama manusia perlulah dijaga supaya tidak mengganngu hak orang lain. Bukanlah budaya kita mencerminkan siapa diri kita dimata orang yang melihat?

Sekian...

25 Oct 2012

Kamu ni Buluh! (Situasi 24)

Bismliahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Pepatah ada mengatakan, "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Saya tertarik untuk berkongsi pendapat seorang pensyarah saya yang mengatakan bahawa kami sebagai pelajar universiti sudah layak dianalogikan sebagai "buluh". Pendapat ini diutarakan oleh beliau apabila ada pihak sekolah yang mempersoalkan kredibiliti universiti dalam melahirkan graduan yang berkualiti. Kata pensyarah saya, jika pendidikan di sekolah yang dilalui selama lebih sepuluh tahun tidak mampu mengubah sikap pelajar, bagaimana pula hanya setakat tiga atau empat tahun di universiti boleh menukar pelajar menjadi seseorang yang jauh berbeza daripada personaliti asalnya.

Inilah buluh.


Rebung.
Rebung yang sedia untuk dimasak.


Pada pendapat saya ada betulnya pendapat pensyarah saya itu. Setiap individu melalui pengalaman yang berbeza-beza dalam hidupnya. Malahan dalam teori pembelajaran juga menjelaskan bahawa manusia menerima sesuatu pembelajaran dengan cara yang berbeza-beza. Nasib seseorang tidak akan berubah melainkan mereka sendiri yang hendak mengubahnya. Maka benarlah, kami adalah "buluh".  Buluh yang bersedia untuk menjalankan fungsinya sama ada dibakar menjadi lemang ataupun menjadi meriam buluh. Semuanya terletak pada pilihan kami sendiri.

SEKIAN...

24 Oct 2012

Rumah Pena. (Situasi 23)

Bismilahhirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Beberapa hari yang lalu, saya berpeluang untuk mengunjungi "Galeri Gapena" yang terkenal dalam kalangan penggemar puisi di mana lokasinya terletak di Kuala Lumpur. Pada hari tersebut merupakan hari bertuah saya kerana ada pameran lukisan sedang dijalankan disitu. Walaupun saya bukanlah penggemar seni halus ini, namun kesempatan yang ada saya ambil untuk menambah sedikit pengalaman.



Satu-satunya papan tanda Galeri Gapena yang dapat saya ambil gambarnya.


Sebaran mengenai pameran seni di  Galeri Gapena.

Antara lukisan yang di pamerkan di Galeri Gapena.










Wajah-wajah pelukis yang terlibat dalam pameran seni di Galeri Gapena.




Bukan sahaja lukisan, yang menarik perhatian saya semasa pameran seni ini, namun cara penulisan harga sesebuah lukisan turut menarik minat saya untuk mengulasnya. Contohnya:


Pertama:

Harga lukisan dilabel dengan MYR 250.00.

Kedua:

Harga lukisan dilabel dengan RM 950.00.
  
Apa itu MYR? menurut pemilik lukisan, MYR bermaksud "Malaysian Ringgit". Istilah ini bukan pertama kali saya dengar namun pertama kali saya melihat label harga "MYR" digunakan. Kebiasaannya kita melabelkan harga sesuatu barangan dengan label "RM" iaitu "Ringgit Malaysia". Penggunaan istilah mana yang lebih tepat? Pada pendapat saya istilah "RM" lebih layak untuk digunakan kerana melambangkan jati diri kita sebagai warganegara Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

SEKIAN...