26 Oct 2012

Hormati Rumah Allah (Situasi 25)

Bismilahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Hari ini saya tertarik untuk menulis tentang situasi  yang saya alami di rumah Allah iaitu di surau atau di masjid. Lazimnya jika ada kuliah sekitar jam dua petang saya akan menunaikan solat di surau yang terletak di kampus UPSI. Surau biasanya akan penuh dengan pelajar memandangkan waktu tersebut adalah waktu puncak. Namun apa yang saya kesalkan adalah apabila sesetengah pelajar tidak menghormati rumah Allah tersebut.
    
     Apa yang saya maksudkan dengan sikap tidak menghormati rumah Allah ini ialah sikap pelajar yang menjadikan surau sebagai tempat berbual-bual kosong. Mungkin tak mengapa jika surau tersebut lengang dan hanya ada beberapa pelajar di dalamnya. Namun hal yang ini kerap berlaku pada waktu pucak. Ketika ramai pelajar hendak bergilir menunaikan solat. Terdapat segelintir pelajar yang mementingkan diri dan berbual-bual di dalam surau. Nada suara yang digunakan juga adalah tinggi dan mengganggu pelajar lain yang hendak menunaikan solat.

    Pada pendapat saya pelajar seperti ini sepatutnya sedar bukan hanya mereka yang menggunakan surau tersebut. Malahan ada juga peringatan di dinding yang meminta supaya pengguna surau menghormati surau tersebut. Namun malangnya mungkin peringatan tersebut tidak dibaca oleh mereka yang mementingkan diri tersebut. Jujurnya pada pendapata saya mentaliti pelajar institusi pengajian tinggi seharusnya lebih matang dan cukup bijak untuk memikirkan hak orang lain. Namun malangnya masih ada sesetengahnya yang belum sampai ke tahap tersebut.

    Saya pun bukanlah insan yang sempurna seratus peratus. Masih kurang serba serbinya. Namun, adab kita sesama manusia perlulah dijaga supaya tidak mengganngu hak orang lain. Bukanlah budaya kita mencerminkan siapa diri kita dimata orang yang melihat?

Sekian...

25 Oct 2012

Kamu ni Buluh! (Situasi 24)

Bismliahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Pepatah ada mengatakan, "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Saya tertarik untuk berkongsi pendapat seorang pensyarah saya yang mengatakan bahawa kami sebagai pelajar universiti sudah layak dianalogikan sebagai "buluh". Pendapat ini diutarakan oleh beliau apabila ada pihak sekolah yang mempersoalkan kredibiliti universiti dalam melahirkan graduan yang berkualiti. Kata pensyarah saya, jika pendidikan di sekolah yang dilalui selama lebih sepuluh tahun tidak mampu mengubah sikap pelajar, bagaimana pula hanya setakat tiga atau empat tahun di universiti boleh menukar pelajar menjadi seseorang yang jauh berbeza daripada personaliti asalnya.

Inilah buluh.


Rebung.
Rebung yang sedia untuk dimasak.


Pada pendapat saya ada betulnya pendapat pensyarah saya itu. Setiap individu melalui pengalaman yang berbeza-beza dalam hidupnya. Malahan dalam teori pembelajaran juga menjelaskan bahawa manusia menerima sesuatu pembelajaran dengan cara yang berbeza-beza. Nasib seseorang tidak akan berubah melainkan mereka sendiri yang hendak mengubahnya. Maka benarlah, kami adalah "buluh".  Buluh yang bersedia untuk menjalankan fungsinya sama ada dibakar menjadi lemang ataupun menjadi meriam buluh. Semuanya terletak pada pilihan kami sendiri.

SEKIAN...

24 Oct 2012

Rumah Pena. (Situasi 23)

Bismilahhirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Beberapa hari yang lalu, saya berpeluang untuk mengunjungi "Galeri Gapena" yang terkenal dalam kalangan penggemar puisi di mana lokasinya terletak di Kuala Lumpur. Pada hari tersebut merupakan hari bertuah saya kerana ada pameran lukisan sedang dijalankan disitu. Walaupun saya bukanlah penggemar seni halus ini, namun kesempatan yang ada saya ambil untuk menambah sedikit pengalaman.



Satu-satunya papan tanda Galeri Gapena yang dapat saya ambil gambarnya.


Sebaran mengenai pameran seni di  Galeri Gapena.

Antara lukisan yang di pamerkan di Galeri Gapena.










Wajah-wajah pelukis yang terlibat dalam pameran seni di Galeri Gapena.




Bukan sahaja lukisan, yang menarik perhatian saya semasa pameran seni ini, namun cara penulisan harga sesebuah lukisan turut menarik minat saya untuk mengulasnya. Contohnya:


Pertama:

Harga lukisan dilabel dengan MYR 250.00.

Kedua:

Harga lukisan dilabel dengan RM 950.00.
  
Apa itu MYR? menurut pemilik lukisan, MYR bermaksud "Malaysian Ringgit". Istilah ini bukan pertama kali saya dengar namun pertama kali saya melihat label harga "MYR" digunakan. Kebiasaannya kita melabelkan harga sesuatu barangan dengan label "RM" iaitu "Ringgit Malaysia". Penggunaan istilah mana yang lebih tepat? Pada pendapat saya istilah "RM" lebih layak untuk digunakan kerana melambangkan jati diri kita sebagai warganegara Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

SEKIAN...


23 Oct 2012

Tak "care"!! (Situasi 22)

Bismillahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

"Tak care"? apakah maksudnya? Perkataan ini baru-baru sahaja saya ketahui maknanyaselepas beberapa orang rakan sibuk menyebutnya berikutan insiden yang menimpa kami pada beberapa hari yang lalu. Istilah ini pernah juga saya dengar beberapa kali sebelum ini, namun saya tidak begitu jelas dengan maknanya. Seorang rakan dari negeri Pahang menjelaskan bahawa maksud "tak care" ini ialah "tak endah" ataupun "buat tak tahu". Mengikut fahaman logik saya, mungkin istilah ini berasal dari perkataan "Care" yang bermaksud "ambil berat" yang digunakan dalam bahasa Inggeris. istilah ini biasanya hanay digunakan dalam konteks perbualan dan bukan untuk penulisan mahupun percakapan rasmi.

   Seperkara lagi yang saya baru sahaja tahu beberapa hari ini ialah negeri Pahang rupa-rupanya mempunyai dialek sendiri. Dialek yang dituturkan berbeza mengikut kawasan. Contohnya mereka yang menetap di Temerloh berbeza dialeknya dengan yang menetap di kawasan Jerantut. Contoh perkataan :



kas - saya (jerantut, lipis raub) 

koi - saya,aku(Temerloh) 
Aok - awak

Aok me-kamu semua
Ampuh - sempat
ambender - apa benda
Babir - degil
Bela: Perbaiki atau elokkan
Cakner: ambil hal
Gonyoh - Sental dengan 
kuat

Getik - geli,meluat
Gamoknye - agaknya
Gasok - suka hati awaklah




Senang je bendera negeri Pahang.


oh Pahang!


Rupa-rupanya masih banyak ilmu bahasa yang masih saya tidak ketahui. Semoga pengetahuan ini berguna untuk semua.

SEKIAN...

22 Oct 2012

Dewan Bahasa dan Pustaka (Situasi 21)

Bismilahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

   Pada hari Ahad yang lalu, saya berpeluang untuk mengikuti sebuah program anjuran subjek minor Keterampilan Penulis, di Kuala Lumpur. Program yang bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini merupakan program sayembara puisi peringkat kebangsaan yang dianjurkan saban tahun. Ini adalah kali pertama saya berkesempatan mengunjungi Dewan Bahasa dan Pustaka setelah sekian lama saya mendengar pelbagai peranan yang dijalankan oleh badan ini dalam usahanya memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

   Sayembara puisi yang dianjurkan ini mengumpulkan peserta-peserta yang bukan calang-calang orangnya. Rata-rata peserta yang mengikuti sayembara ini adalah mereka yang telah memenangi pertandingan di peringkat kebangsaan. Terselit rasa kagum dihati saya apabila peserta dari Kelantan, Sabah mahupun Sarawak mampu mendeklamasikan puisi menggunakan bahasa Melayu yang baku tanpa ada sedikit pun masalah dialek.

    Sepanjang saya berada dalam bangunan DBP ini juga saya dapat melihat dengan jelas usaha-usaha pihak DBP dalam mempertahankan penggunaan bahasa Melayu dan tulisan jawi.  Beberapa gambar  papan  tanda di DBP sempat saya ambil dan saya ingin kongsikannya bersama pembaca blog sekalian.

























SEKIAN...
   

19 Oct 2012

Rohingya. (Situasi 20)

Bismilahhirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Hari ini saya berpeluang untuk mendengar serba sedikit ceramah kemanusiaan tentang peristiwa wilayah bergolak di Myanmar iaitu mengenai kaum Rohingya. Pergolakan yang berlaku di wilayah Arakhan ini bolehlah saya simpulkan berlaku kerana dasar pemerintah negara tersebut sendiri yang mengatakan bahawa penduduk Rohingya bukan warganegara. Hal menjadi bertambah buruk apabila pemerintah dan pihak berkuasa di negara tersebut dipercayai melakukan usaha besar-besaran untuk menghapuskan etnik Rohingya. Hidup penduduk Rohingya menjadi sangat sengasara. Pembunuhan menjadi perkara lazim di sana. Kematian dianggarkan melebihi daripada apa yang dilaporkan. Penduduk yang ingin menyelamatkan diri terpaksa menggadaikan nyawa menjadi pelarian dinegara-negara lain yang berdekatan.

    Apa yang jelas dalam pergolakan ini adalah isu agama. Agama Islam begitu dimusuhi dan di benci semenjak peristiwa serangan PWTC Amerika Syarikat. Islam dituduh menjadi perancang kejadian yang mengorbankan bertaus-ratus nyawa pada ketika itu. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini pembongkaran demi pembongkaran yang dilakukan menunjukkan bahawa peristiwa berdarah tersebut didalangi oleh pihak dalaman negara tersebut sendiri.



Pertelingkahan agama yang dikatakan menjadi punca utama.

Pelarian Rohingya yang terpaksa menggadaikan nyawa mereka meredah lautan.


Mangsa korban penghapusan etnik.

   Perasaaan sebak tidak dapat ditahan apabila melihat gambar-gambar mangsa yang menjadi korban akibat pertelingkahan agama ini. Betapa beruntungnya masyarakat Islam di Malaysia. Tidak berlaku pertelingkahan agama dan hidup dalam aman dan rukun. Peristiwa seperti ini seharusnya memberi pengajaran dan peringatan kepada kita agar menghargai keamanan yang kita miliki. Pertelingkahan tidak membawa sebarang keuntungan dan manfaat tetapi lebih mendatangkan berjuta kesengsaraan kepada yang mengalaminya.

SEKIAN...

18 Oct 2012

Di Mana Kemelayuannya? (Situasi 19)

Bismilahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Kemelayuan... apa itu Kemelayuan? Apakah ciri-ciri  "Melayu"? Apakah yang melambangkan tentang "Melayu"? Bagaimana yang bernama "Melayu" itu? Siapakah "Melayu"? 

Semua persoalah ini terdetik di benak fikiran saya saat menghadiri suatu majlis yang bertemakan "Kemelayuan". Apa yang mengecewakan saya, pihak penganjur sendiri yang menyediakan tema, namun sayang seribu kali sayang, muzik dan tarian Korea yang menjadi santapan mata. Sepanjang jam pertama majlis berlangsung saya dan hadirin dihidangkan dengan persembahan muzik dan tarian Korea. Tayangan montaj juga amat mengecewakan. Dan perkara yang paling mengecewakan lagi penganjur adalah pelajar Bahasa Melayu sendiri.

    Bukanlah saya hendak mengaibkan atau menjatuhkan maruah sesiapa, namun saya melihat arah tuju majlis yang kelihatan tidak menarik perhatian hadirin. Namun kekecewaan saya terubat apabila masih ada pelajar Bahasa Melayu yang membuat persembahan yang benar-benar menepati tema "Kemelayuan". 
 
    Saya cuba untuk berfikir secara positif, mungkin kerana pengaruh muzik Korea yang begitu kuat menyebabkan kadang-kala kita tidak perasan yang kita sudah melebihi batasan Melayu. Semakin lama semakin pudar ciri-ciri Melayu apabila kita sebagai orang Melayu sendiri mengetepikan budaya kita dan lebih memilih budaya luar untuk diamalkan. Namun adakah benar petikan kata-kata Hang Tuah "takkan Melayu hilang di dunia?"














SEKIAN...
   

17 Oct 2012

Serupa Tapi Tak Sama! (Situasi 18)

Bismilahhirahmannirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang pernah menjadi bahasa pengantara terbesar sewaktu zaman kegemilangan  Alam Melayu pada suatu masa dahulu. Penggunaan bahasa Melayu kini hanya meluas digunakan di Malaysia, Indonesia dan Brunei. Bahasa Melayu yang kita gunakan di Malaysia sekarang menjadi bahasa kebangsaan negara.

Walaupun kita menggunakan bahasa yang sama, namun masih ada sebahagian istilah yang berbeza digunakan. Sebagai contoh, istilah gula-gula di Semenanjung Malaysia merujuk kepada makanan ringan yang dibungkus dalam bungkusan kecil. Namun sebahagian Semenanjung Malaysia seperti Kelantan menggunakan istilah coklat bagi merujuk makanan ringan ini. Bagi mereka yang di Sabah atau Sarawak pula ada yang menyebutnya dengan panggilan gula batu. Jika di Semenanjung, gula batu merujuk kepada antonim kepada gula halus.

Coklat

Gula-gula

Gula-gula



Gula halus.

Gula batu.


Di Indonesia pula perkataan speda digunakan bagi merujuk basikal. Basikal di Malaysia juga turut mempunyai panggilan lain. Rujuk entri di sini. Perkataan koran bagi merujuk surat khabar.

Istilah hormat bagi lelaki di Indonesia ialah bapak, berbeza dengan Malaysia yang menggunakan istilah encik atau tuan. Istilah bapak di Malaysia merujuk kepada ayah atau bapa kepada seseorang. Hal ini menunjukkan walaupun kita memiliki rumpun bahasa yang sama, namun sebahagian istilah yang digunakan adalah berbeza. 

SEKIAN...



16 Oct 2012

Kecewa. (Situasi 17)

Bismilahhirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Kisah situasi pada hari ini masih lagi mengenai Persidangan Antarabangsa Memartabatkan bahasa Melayu. Namun hari ini lebih kepada kekecewaan yang dialami oleh kami sebagai ahli jawatankuasa pelaksana majlis besar ini. Apa yang kami begitu kecewa ialah terhadap kehadiran pelajar dalam memberi sokongan terhadap persidangan ini. Jumlah yang hadir untuk mendengar sesi pembentangan terlalu sedikit. Sambutannya tidak semeriah sewaktu hari pertama. Namun kami juga menyedari mutu persembahan pembentangan yang kurang menarik perhatian audiens juga menjadi salah satu faktor yang menyebabkan bilangan pelajar yang hadir memberi sokongan semakin merosot bilangannya.


Kuantiti kerusi yang melebihi kuantiti audiens yang hadir.

Meja urusetia yang lenggang.


Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Namun seharusnya dalam usaha seperti ini, masing-masing perlu sedar tentang kepentingan untuk turut hadir dalam majlis ini dalam menjaga nama baik universiti kerana hal ini melibatkan imej UPSI kerana majlis ini turut dihadiri oleh peserta luar. Saya percaya jika mutu pembentangan lebih menarik sudah pasti sambutan yang lebih menggalakkan akan diterima. 

SEKIAN...





15 Oct 2012

Bahasa Warisan Bangsa. (Situasi 16)

Bismillahirahmanirahim...

Selamat sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Pada hari ini saya dikira bertuah kerana telah menjadi salah seorang peserta Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu yang dianjurkan Di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Persidangan ini diadakan dengan tujuan membentangkan kertas kerja yang memberi cadangan penambahbaikan terhadap pengajaran bahasa Melayu kepada mereka yang bergelar pelajar.

Barisan peserta yang memeriahkan majlis.


Para pembentang yang hadir bukan calang-calang orangnya dan merupakan mereka yang terpilih sebagai wakil negara mereka. Antara pembentang yang hadir adalah dari negara Indonesia , Singapura dan wakil dari Malaysia merupakan beberapa orang pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris sendiri.

Pada pandangan saya, matlamat program seperti ini sangat baik namun tidak seratus peratus mencapai objektifnya. Hal ini kerana berlakunya kekangan masa dalam sesi pembentangan. Sesi pembentangan juga berjalan dengan hambar dan kurang menarik perhatian audiens yang mendengar. Hal ini terut dirasai oleh semua yang berada di dalam dewan SITC pada hari tersebut.

Lantaran pembentangan yang kurang menarik, pelajar memilih untuk melakukan kerja sendiri.

Namun apa yang saya kagumi, bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu melatari majlis ini. Apabila pembentang tersasul menggunakan perkataan bahasa Inggeris, secara spontan suara pelajar akan kedengaran memprotes secara tidak langsung. Hal ini menunjukkan sikap cakna pelajar bahasa Melayu yang peka terhadap penggunaan bahasa Melayu.

SEKIAN...

12 Oct 2012

Hormat Kepada Yang Tua! (Situasi 15)

Bismilahhirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Dua hari yang lepas cuaca cukup panas di Tanjong Malim. Kepanasannya sehingga menyebabkan saya berpeluh-peluh apabila berbasikal ke kuliah. Cuaca yang panas kadang-kala mengganggu penglihatan dan menyebabkan mata rasa berpinar-pinar  apabila terkena silauan cahaya matahari. 


Panasnya!


      Berlaku insiden yang menarik perhatian saya di tepi sebuah kedai makan pada hari yang panas itu. Ketika itu, saya dan rakan-rakan baru sahaja selesai menikmati juadah tengahari kami di kedai makan tersebut. Selepas menikmati makanan kami menuju ke kedai alat tulis yang terletak hanya selang beberapa buah kedai berdekatan dengan kedai makan tersebut. Setelah kami selesai membeli beberapa peralatan menulis kami pun menuju keluar dari kedai tersebut. Tiba-tiba kami terlihat sekumpulan pelajar India sedang berkerumun di tepi longkang bersebelahan kedai makan yang kami singgahi tadi. Kami tertanya-tanya apa yang sedang terjadi. Rupa-rupanya seorang wanita tua yang saya kira dalam lingkungan usia 60-an dan berketurunan Melayu terjatuh ke dalam longkang tersebut. Mungkin disebabkan cuaca yang begitu panas pada hari itu telah mengganggu penglihatan wanita tua itu. Wanita tua itu bernasib baik kerana sekumpulan pelajar India sedang melewati kawasan tersebut pada masa yang sama wanita  tua tersebut terjatuh. Pelajar tersebut dapat memaut wanita tua tersebut daripada terjatuh lebih dalam longkang tersebut.

     Apa yang saya kagumi dalam insiden ini ialah, kesudian pelajar India tersebut membantu wanita tua itu walaupun wujud perbezaan kaum antara mereka. Pelajar India tersebut tidak bersikap prejudis dan pada saya niatnya cukup ikhlas untuk membantu mereka yang lebih tua. Sedikit-sebanyak saya tidak dapat menafikan bahawa tingkahlaku ini juga dipengaruhi oleh pendidikan. Pendidikan telah mengajar kita supaya menghormati mereka yang lebih tua. Saya cukup tabik dengan pelajar India berkenaan dan saya pasti ibubapanya akan merasa bangga memliki anak seperti beliau.

SEKIAN...
    

11 Oct 2012

Budaya Bersalaman (Situasi 14)

Bismilahhirahmanirahim....

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

       Hari ini saya tertarik untuk membicarakan mengenai budaya bersalaman. Budaya salam-bersalaman sudah diamalkan menjadi sebahagian daripada masyarakat Melayu. Bersalaman dianggap cara sapaan yang paling sopan untuk menegur seseorang.  Namun begitu pada masa kini budaya bersalaman semakin luntur dan kurang diamalkan.

        Hal ini dapat saya perhatikan tatkala saya berjumpa rakan-rakan di dewan kuliah. Jika dahulunya semasa saya dibangku persekolahan budaya bersalaman menjadi suatu kebiasaan bagi kami. Setiap pagi kami akan bersalaman dan begitu juga ketika tamat waktu persekolahan. Rakan lelaki akan bersalaman sesama rakan lelaki dan begitu juga dengan rakan perempuan. 


Budaya bersalaman

       Namun setelah saya menjejakkan kaki ke universiti saya tidak dapat merasakan budaya ini kerap diamalkan. Jika ada mungkin apabila cuti semester hendak bermula ataupun ketika cuti semester baru bermula. Hal ini kerana masing-masing baru bersua muka semula setelah beberapa lama berpisah. Namun begitu amalan bersalaman sangat digalakkan semasa saya menjalani latihan persilatan di universiti. Kami bersalaman sesama ahli persilatan bagi merapatkan ukhwah yang terjalin antara kami. Budaya bersalaman juga dapat saya rasakan apabila saya bertemu dengan rakan lama dari sekolah lama di universiti. Kami tidak kekok untuk bersalaman walaupun setiap hari dapat berjumpa. Mungkin disebabkan oleh kebiasaan yang sudah amalan sejak zaman persekolah lagi.

       Pada pendapat saya, budaya bersalaman antara satu sama lain merupakan satu medium perapat ukhwah yang  patut terus diamalkan dalam masyarakat kita. Ianya bukan sahaja merupakan budaya semata-mata tetapi juga menonjolkan identiti masyarakat Melayu yang bersopan santun dalam memulakan sesuatu perhubungan.

SEKIAN...

10 Oct 2012

Pelanggan Sentiasa Betul (Situasi 13)


Bismilahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Baru-baru ini saya ada berkunjung ke sebuah restoran makanan segera. Kedatangan saya tidak lain tidak bukan bertujuan menjamu selera bersama rakan-rakan. Tiba di depan kaunter kami terus beratur untuk memesan makanan yang kami inginkan. Apa yang saya kagumi mengenai restoran makanan segera ini ialah layanan mesra dan budi bahasa yang sopan yang digunakan oleh pekerja di restoran terbabit.

   Lazimnya di mana-mana restoran makanan segera yang pernah saya kunjungi layanan yang diberikan adalah kurang memuaskan. Pelayan kaunter cukup sukar untuk melemparkan senyuman. Pada telahan saya mungkin kerana penat melayan kerenah pelanggan yang bermacam ragamnya di kaunter. Namun kunjungan saya pada kali ini sangat berbeza. Layanan yang di beri sangat mesra pelanggan. Pelayan kaunter bukan sahaja mampu tersenyum malahan mampu bergelak ketawa melihat gelagat saya dan rakan-rakan yang sibuk memilih menu yang diinginkan.




Gambar hiasan : restoran makanan segera



  Malahan sikap pekerja lain yang bertugas di restoran tersebut  juga menunjukkan kesantunan dalam melayan permintaan pelanggan. Insiden menarik berlaku semasa kami meminta bantuan salah seorang pekerja restoran makanan segera terbabit mengambil gambar kami beramai-ramai untuk dijadikan kenangan. Pekerja tersebut bukan sahaja melayan dengan baik permintaan kami, malahan dia turut bertanya sama ada kami berpuas hati dengan gambar yang telah diambil olehnya. Dia juga turut menyatakan kesudiannya untuk mengambil beberapa keping gambar lagi bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.



Gambar hasil tangkapan pekerja restoran...Terima kasih!

  Pengalaman seperti jarang dapat saya lalui di restoran makanan segera yang lain. Saya akui kadang-kala mungkin disebabkan faktor letih bekerja menyebabkan layanan yang diberikan kurang memuaskan. Namun tidak banyak tenaga sebenarnya yang digunakan untuk kita mengukirkan sebuah senyuman kepada orang lain kerana kita dapat melahirkan aura positif melalui sebuah senyuman. Senyuman menunjukkan budi bahasa kita yang bersopan santun dan saling hormat-menghormati.

SEKIAN...

9 Oct 2012

Aku dan Emak (Situasi 12)


Bismilahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

     Kasih sayang adalah sesuatu yang abstrak. Sejak dari kecil saya telah dididik dengan kasih sayang oleh kedua ibubapa saya. Saya percaya orang lain juga begitu. Ibubapa adalah golongan yang wajib kita hormati setiap masa dan ianya menjadi tuntutan dalam agama Islam. Malahan bahasa yang kita gunakan dengan ibubapa adalah berbeza dengan bahasa yang kita gunakan bersama rakan-rakan.

    
      Saya tertarik untuk berkongsi kisah pengalaman mengenai bahasa panggilan yang saya gunakan dengan kedua ibubapa saya. Bagi saya dan kedua ibubapa saya tidak menjadi suatu kesalahan apabila saya menggunakan gelaran "aku" dan "kau" dengan mereka. Lazimnya hal ini tak menjadi masalah bagi kami. Namun terjadi satu insiden menarik apabila seorang rakan dari negeri utara tanah air mendengar perbualan saya dan ibu saya melalui panggilan telefon.


       Ibu        :    Kau dah makan dik?
      Saya      :    Belum lagi. Kejap lagi aku makanlah dengan kawan aku kat kedai depan tu.
     Ibu        :    Asyik makan kat kedai je kau ni. Abah kau bising tanya aku bila kau nak balik?
      Saya     :     Tunggu cuti nanti aku baliklah mak...

      Rakan saya terus berubah air mukanya apabila saya menyatakan bahawa saya sedang berbual bersama emak saya dalam telefon. Kata rakan saya bahasa yang saya gunakan agak biadab dan seolah-olah tidak menghormati ibu saya. Tambah rakan saya lagi, dia tidak akan sekali-kali menggunakan "aku" sebagai kata ganti nama diri apabila berkomunikasi dengan orang tuanya.Saya turut terkejut namun kemudian menjelaskan keadaan sebenar. Bukan saya biadab atau berkurang ajar namun gelaran itu sudah biasa saya gunakan. Lazimnya kebanyakkan orang yang berasal dari negeri yang sama dengan saya ataupun berketuruan Jawa seperti saya tidak melihatnya sebagai perlakuan yang kurang sopan terhadap ibubapa.

Gambar hiasan. Bukan emak saya!


    Pada pendapat saya, lain negeri lainlah kata sapaanya. Kita tidak boleh terus menilai pada pandangan pertama walaupun pandangan pertama itu sangat penting. Kenali latar belakang seseorang itu dengan baik barulah kita dapat mengkritiknya.

SEKIAN...

8 Oct 2012

Gerek! (Situasi 11)

Bismilahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Gerek? pernah mendengar perktaan ini? Baru-baru rakan saya telah berkongsi ilmu baru tentang definisi perkataan gerek ini. Tetapi PERHATIAN!! perkataan gerek bukanlah bahasa baku dan tidak sesuai digunakan dalam bentuk penulisan.Bagi saya yang berasal dari negeri Johor perkataan ini sering didengar dari penduduk negara jiran iaitu Singapura. Menurut kefahaman saya, gerek bermaksud sesuatu yang menakjubkan atau menarik perhatian. Contohnya apabila saya membeli pakaian baru dan rakan memuji pakaian tersebut dengan menyatakan:

"Gerek seh baju baru kau ni!"

Cantik baju Siti nurahaliza. Gerek! 


      Hal ini bermaksud baju tersebut cantik dan menarik perhatian rakan saya ini untuk memilikinya. Bagi rakan saya yang tinggal di Kedah pula definisi gerek merujuk kepada basikal. Saya terpinga-pinga apabila ditanya oleh rakan saya pada pertama kali saya mengetahui makna perkataan gerek baginya.


"Hang letak gerek hang kat mana?aku tak nampak pun?"





Gerek = Basikal.



Satu lagi definisi gerek diberi oleh rakan saya yang tinggal di luar semenanjung iaitu negeri Sabah dan Sarawak. Mereka mendefinisikan gerek sebagai kekasih hati mereka. Contoh dialog:


"Mana gerek kau? tak keluar dengan dia hari ni?"




Gambar hiasan. Gerek= Kekasih hati


Hal ini bermaksud gerek mempunyai pelbagai makna yang saya baru ketahui. Terima kasih kepada rakan-rakan saya kerana telah menambahkan lagi data korpus yang wujud dalam minda saya.


SEKIAN...