15 Oct 2012

Bahasa Warisan Bangsa. (Situasi 16)

Bismillahirahmanirahim...

Selamat sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Pada hari ini saya dikira bertuah kerana telah menjadi salah seorang peserta Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu yang dianjurkan Di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Persidangan ini diadakan dengan tujuan membentangkan kertas kerja yang memberi cadangan penambahbaikan terhadap pengajaran bahasa Melayu kepada mereka yang bergelar pelajar.

Barisan peserta yang memeriahkan majlis.


Para pembentang yang hadir bukan calang-calang orangnya dan merupakan mereka yang terpilih sebagai wakil negara mereka. Antara pembentang yang hadir adalah dari negara Indonesia , Singapura dan wakil dari Malaysia merupakan beberapa orang pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris sendiri.

Pada pandangan saya, matlamat program seperti ini sangat baik namun tidak seratus peratus mencapai objektifnya. Hal ini kerana berlakunya kekangan masa dalam sesi pembentangan. Sesi pembentangan juga berjalan dengan hambar dan kurang menarik perhatian audiens yang mendengar. Hal ini terut dirasai oleh semua yang berada di dalam dewan SITC pada hari tersebut.

Lantaran pembentangan yang kurang menarik, pelajar memilih untuk melakukan kerja sendiri.

Namun apa yang saya kagumi, bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu melatari majlis ini. Apabila pembentang tersasul menggunakan perkataan bahasa Inggeris, secara spontan suara pelajar akan kedengaran memprotes secara tidak langsung. Hal ini menunjukkan sikap cakna pelajar bahasa Melayu yang peka terhadap penggunaan bahasa Melayu.

SEKIAN...

12 Oct 2012

Hormat Kepada Yang Tua! (Situasi 15)

Bismilahhirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Dua hari yang lepas cuaca cukup panas di Tanjong Malim. Kepanasannya sehingga menyebabkan saya berpeluh-peluh apabila berbasikal ke kuliah. Cuaca yang panas kadang-kala mengganggu penglihatan dan menyebabkan mata rasa berpinar-pinar  apabila terkena silauan cahaya matahari. 


Panasnya!


      Berlaku insiden yang menarik perhatian saya di tepi sebuah kedai makan pada hari yang panas itu. Ketika itu, saya dan rakan-rakan baru sahaja selesai menikmati juadah tengahari kami di kedai makan tersebut. Selepas menikmati makanan kami menuju ke kedai alat tulis yang terletak hanya selang beberapa buah kedai berdekatan dengan kedai makan tersebut. Setelah kami selesai membeli beberapa peralatan menulis kami pun menuju keluar dari kedai tersebut. Tiba-tiba kami terlihat sekumpulan pelajar India sedang berkerumun di tepi longkang bersebelahan kedai makan yang kami singgahi tadi. Kami tertanya-tanya apa yang sedang terjadi. Rupa-rupanya seorang wanita tua yang saya kira dalam lingkungan usia 60-an dan berketurunan Melayu terjatuh ke dalam longkang tersebut. Mungkin disebabkan cuaca yang begitu panas pada hari itu telah mengganggu penglihatan wanita tua itu. Wanita tua itu bernasib baik kerana sekumpulan pelajar India sedang melewati kawasan tersebut pada masa yang sama wanita  tua tersebut terjatuh. Pelajar tersebut dapat memaut wanita tua tersebut daripada terjatuh lebih dalam longkang tersebut.

     Apa yang saya kagumi dalam insiden ini ialah, kesudian pelajar India tersebut membantu wanita tua itu walaupun wujud perbezaan kaum antara mereka. Pelajar India tersebut tidak bersikap prejudis dan pada saya niatnya cukup ikhlas untuk membantu mereka yang lebih tua. Sedikit-sebanyak saya tidak dapat menafikan bahawa tingkahlaku ini juga dipengaruhi oleh pendidikan. Pendidikan telah mengajar kita supaya menghormati mereka yang lebih tua. Saya cukup tabik dengan pelajar India berkenaan dan saya pasti ibubapanya akan merasa bangga memliki anak seperti beliau.

SEKIAN...
    

11 Oct 2012

Budaya Bersalaman (Situasi 14)

Bismilahhirahmanirahim....

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

       Hari ini saya tertarik untuk membicarakan mengenai budaya bersalaman. Budaya salam-bersalaman sudah diamalkan menjadi sebahagian daripada masyarakat Melayu. Bersalaman dianggap cara sapaan yang paling sopan untuk menegur seseorang.  Namun begitu pada masa kini budaya bersalaman semakin luntur dan kurang diamalkan.

        Hal ini dapat saya perhatikan tatkala saya berjumpa rakan-rakan di dewan kuliah. Jika dahulunya semasa saya dibangku persekolahan budaya bersalaman menjadi suatu kebiasaan bagi kami. Setiap pagi kami akan bersalaman dan begitu juga ketika tamat waktu persekolahan. Rakan lelaki akan bersalaman sesama rakan lelaki dan begitu juga dengan rakan perempuan. 


Budaya bersalaman

       Namun setelah saya menjejakkan kaki ke universiti saya tidak dapat merasakan budaya ini kerap diamalkan. Jika ada mungkin apabila cuti semester hendak bermula ataupun ketika cuti semester baru bermula. Hal ini kerana masing-masing baru bersua muka semula setelah beberapa lama berpisah. Namun begitu amalan bersalaman sangat digalakkan semasa saya menjalani latihan persilatan di universiti. Kami bersalaman sesama ahli persilatan bagi merapatkan ukhwah yang terjalin antara kami. Budaya bersalaman juga dapat saya rasakan apabila saya bertemu dengan rakan lama dari sekolah lama di universiti. Kami tidak kekok untuk bersalaman walaupun setiap hari dapat berjumpa. Mungkin disebabkan oleh kebiasaan yang sudah amalan sejak zaman persekolah lagi.

       Pada pendapat saya, budaya bersalaman antara satu sama lain merupakan satu medium perapat ukhwah yang  patut terus diamalkan dalam masyarakat kita. Ianya bukan sahaja merupakan budaya semata-mata tetapi juga menonjolkan identiti masyarakat Melayu yang bersopan santun dalam memulakan sesuatu perhubungan.

SEKIAN...