4 Oct 2012

Kita Dan Telefon Bimbit. (Situasi 9)

Bismilahirahmanirahim...

Selamat sejahtera kepada pembaca blog sekalian...

     Telefon oh telefon... Arus globalisasi yang kian melanda dunia kini mencetuskan revolusi penggunaan telefon bimbit. Jika dulu kita mungkin menganggap telefon bimbit bukanlah satu keperluan utama namun kini terasa aneh jika masih ada yang masih tidak memiliknya. Telefon bimbit kini bukan sekadar untuk menghubungkan antara dua manusia, tetapi juga untuk pelbagai aplikasi lain seperti perkhidmatan internet, bermain permainan Java, dan pelbagai lagi. Penciptaan pelbagai model baru telefon bimbit yang kelihatan lebih berinovasi menjadi kegilaan pada masa kini.




Pelbagai jenis telefon bimbit ada dalam pasaran.

   Namun adakah kita sedar telefon bimbit menjadi jurang pemisah antara kita?. Contohnya apabila kita berada dalam situasi sesuatu majlis. Kita hanya mengenali dua atau tiga orang tetamu. Tetamu yang kita kenali itu pula sibuk bersembang dengan tetamu lain yang tidak kita kenali. Reaksi automatik kita?:
  1. Capai telefon bimbit.
  2. Berpura-pura sibuk dan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada sesiapa sahaja dengan mengatakan majlis tersebut bosan dan mengharapkan mereka sudi menemani anda.
  3. Berpura-pura sedang menghantar  sistem pesanan ringkas (SMS) padahal anda sedang bermain aplikasi yang terdapat dalam telefon bimbit.
  4. Melayari internet (jika ada perkhidamatan jalur lebar ditempat itu)
Apa yang jelas kita akan lebih memilih untuk bersendiri bersama telefon bimbit berbanding dengan beramah mesra dengan para tetamu yang tidak kita kenali.


    Nilai seperti ini bukan sahaja diamalkan dalam majlis, malah juga ketika bertandang ke rumah saudara-mara. Tidak terfikirkah kita bagaimanalah situasi saudara tidak mengenali saudara sendiri wujud ?, punca utamanya apabila setiap kali bertandang ke rumah saudara kita , kita ralit dengan telefon bimbit kita tanpa menghiraukan dunia persaudaraan kita. Kita lebih memilih beramah mesra dengan telefon bimbit yang setiap hari kita genggam berbanding beramah mesra dengan saudara jauh yang setahun sekali sahaja kita berjumpa. Inilah sikap masyarakat kita yang semakin luntur dengan sikap ramah mesranya.

   Saya juga tidak terkecuali mengalami situasi seperti ini. Kadangkala rasa seperti bercakap dengan patung pula apabila keluar makan dengan seorang teman yang tidak dapat berpisah dengan telefon bimbitnya. Malah  diri terasa seperti pita rakaman pula apabila tumpuan tidak diberikan terhadap isi perbualan kita dan kita terpaksa mengulang dua tiga kali cerita yang sama bagi menjaga hatinya . Saya juga berasa sukar untuk menjalinkan perhubungan dengan seseorang yang baru saya kenali apabila dia terlalu asyik dengan telefon bimbitnya.



Gambar hiasan, seseorang yang terlalu asyik dengan telefon bimbitnya.


   Kesimpulannya, tidak salah kita mengikuti perkembangan telefon bimbit, namun ada ketikanya kita juga perlu menjaga adab dengan manusia. Telefon bimbit boleh dibuang tetapi sahabat handai dan saudara mara sukar dicari ganti. 

SEKIAN...

No comments:

Post a Comment