12 Oct 2012

Hormat Kepada Yang Tua! (Situasi 15)

Bismilahhirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Dua hari yang lepas cuaca cukup panas di Tanjong Malim. Kepanasannya sehingga menyebabkan saya berpeluh-peluh apabila berbasikal ke kuliah. Cuaca yang panas kadang-kala mengganggu penglihatan dan menyebabkan mata rasa berpinar-pinar  apabila terkena silauan cahaya matahari. 


Panasnya!


      Berlaku insiden yang menarik perhatian saya di tepi sebuah kedai makan pada hari yang panas itu. Ketika itu, saya dan rakan-rakan baru sahaja selesai menikmati juadah tengahari kami di kedai makan tersebut. Selepas menikmati makanan kami menuju ke kedai alat tulis yang terletak hanya selang beberapa buah kedai berdekatan dengan kedai makan tersebut. Setelah kami selesai membeli beberapa peralatan menulis kami pun menuju keluar dari kedai tersebut. Tiba-tiba kami terlihat sekumpulan pelajar India sedang berkerumun di tepi longkang bersebelahan kedai makan yang kami singgahi tadi. Kami tertanya-tanya apa yang sedang terjadi. Rupa-rupanya seorang wanita tua yang saya kira dalam lingkungan usia 60-an dan berketurunan Melayu terjatuh ke dalam longkang tersebut. Mungkin disebabkan cuaca yang begitu panas pada hari itu telah mengganggu penglihatan wanita tua itu. Wanita tua itu bernasib baik kerana sekumpulan pelajar India sedang melewati kawasan tersebut pada masa yang sama wanita  tua tersebut terjatuh. Pelajar tersebut dapat memaut wanita tua tersebut daripada terjatuh lebih dalam longkang tersebut.

     Apa yang saya kagumi dalam insiden ini ialah, kesudian pelajar India tersebut membantu wanita tua itu walaupun wujud perbezaan kaum antara mereka. Pelajar India tersebut tidak bersikap prejudis dan pada saya niatnya cukup ikhlas untuk membantu mereka yang lebih tua. Sedikit-sebanyak saya tidak dapat menafikan bahawa tingkahlaku ini juga dipengaruhi oleh pendidikan. Pendidikan telah mengajar kita supaya menghormati mereka yang lebih tua. Saya cukup tabik dengan pelajar India berkenaan dan saya pasti ibubapanya akan merasa bangga memliki anak seperti beliau.

SEKIAN...
    

11 Oct 2012

Budaya Bersalaman (Situasi 14)

Bismilahhirahmanirahim....

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

       Hari ini saya tertarik untuk membicarakan mengenai budaya bersalaman. Budaya salam-bersalaman sudah diamalkan menjadi sebahagian daripada masyarakat Melayu. Bersalaman dianggap cara sapaan yang paling sopan untuk menegur seseorang.  Namun begitu pada masa kini budaya bersalaman semakin luntur dan kurang diamalkan.

        Hal ini dapat saya perhatikan tatkala saya berjumpa rakan-rakan di dewan kuliah. Jika dahulunya semasa saya dibangku persekolahan budaya bersalaman menjadi suatu kebiasaan bagi kami. Setiap pagi kami akan bersalaman dan begitu juga ketika tamat waktu persekolahan. Rakan lelaki akan bersalaman sesama rakan lelaki dan begitu juga dengan rakan perempuan. 


Budaya bersalaman

       Namun setelah saya menjejakkan kaki ke universiti saya tidak dapat merasakan budaya ini kerap diamalkan. Jika ada mungkin apabila cuti semester hendak bermula ataupun ketika cuti semester baru bermula. Hal ini kerana masing-masing baru bersua muka semula setelah beberapa lama berpisah. Namun begitu amalan bersalaman sangat digalakkan semasa saya menjalani latihan persilatan di universiti. Kami bersalaman sesama ahli persilatan bagi merapatkan ukhwah yang terjalin antara kami. Budaya bersalaman juga dapat saya rasakan apabila saya bertemu dengan rakan lama dari sekolah lama di universiti. Kami tidak kekok untuk bersalaman walaupun setiap hari dapat berjumpa. Mungkin disebabkan oleh kebiasaan yang sudah amalan sejak zaman persekolah lagi.

       Pada pendapat saya, budaya bersalaman antara satu sama lain merupakan satu medium perapat ukhwah yang  patut terus diamalkan dalam masyarakat kita. Ianya bukan sahaja merupakan budaya semata-mata tetapi juga menonjolkan identiti masyarakat Melayu yang bersopan santun dalam memulakan sesuatu perhubungan.

SEKIAN...

10 Oct 2012

Pelanggan Sentiasa Betul (Situasi 13)


Bismilahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Baru-baru ini saya ada berkunjung ke sebuah restoran makanan segera. Kedatangan saya tidak lain tidak bukan bertujuan menjamu selera bersama rakan-rakan. Tiba di depan kaunter kami terus beratur untuk memesan makanan yang kami inginkan. Apa yang saya kagumi mengenai restoran makanan segera ini ialah layanan mesra dan budi bahasa yang sopan yang digunakan oleh pekerja di restoran terbabit.

   Lazimnya di mana-mana restoran makanan segera yang pernah saya kunjungi layanan yang diberikan adalah kurang memuaskan. Pelayan kaunter cukup sukar untuk melemparkan senyuman. Pada telahan saya mungkin kerana penat melayan kerenah pelanggan yang bermacam ragamnya di kaunter. Namun kunjungan saya pada kali ini sangat berbeza. Layanan yang di beri sangat mesra pelanggan. Pelayan kaunter bukan sahaja mampu tersenyum malahan mampu bergelak ketawa melihat gelagat saya dan rakan-rakan yang sibuk memilih menu yang diinginkan.




Gambar hiasan : restoran makanan segera



  Malahan sikap pekerja lain yang bertugas di restoran tersebut  juga menunjukkan kesantunan dalam melayan permintaan pelanggan. Insiden menarik berlaku semasa kami meminta bantuan salah seorang pekerja restoran makanan segera terbabit mengambil gambar kami beramai-ramai untuk dijadikan kenangan. Pekerja tersebut bukan sahaja melayan dengan baik permintaan kami, malahan dia turut bertanya sama ada kami berpuas hati dengan gambar yang telah diambil olehnya. Dia juga turut menyatakan kesudiannya untuk mengambil beberapa keping gambar lagi bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.



Gambar hasil tangkapan pekerja restoran...Terima kasih!

  Pengalaman seperti jarang dapat saya lalui di restoran makanan segera yang lain. Saya akui kadang-kala mungkin disebabkan faktor letih bekerja menyebabkan layanan yang diberikan kurang memuaskan. Namun tidak banyak tenaga sebenarnya yang digunakan untuk kita mengukirkan sebuah senyuman kepada orang lain kerana kita dapat melahirkan aura positif melalui sebuah senyuman. Senyuman menunjukkan budi bahasa kita yang bersopan santun dan saling hormat-menghormati.

SEKIAN...

9 Oct 2012

Aku dan Emak (Situasi 12)


Bismilahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

     Kasih sayang adalah sesuatu yang abstrak. Sejak dari kecil saya telah dididik dengan kasih sayang oleh kedua ibubapa saya. Saya percaya orang lain juga begitu. Ibubapa adalah golongan yang wajib kita hormati setiap masa dan ianya menjadi tuntutan dalam agama Islam. Malahan bahasa yang kita gunakan dengan ibubapa adalah berbeza dengan bahasa yang kita gunakan bersama rakan-rakan.

    
      Saya tertarik untuk berkongsi kisah pengalaman mengenai bahasa panggilan yang saya gunakan dengan kedua ibubapa saya. Bagi saya dan kedua ibubapa saya tidak menjadi suatu kesalahan apabila saya menggunakan gelaran "aku" dan "kau" dengan mereka. Lazimnya hal ini tak menjadi masalah bagi kami. Namun terjadi satu insiden menarik apabila seorang rakan dari negeri utara tanah air mendengar perbualan saya dan ibu saya melalui panggilan telefon.


       Ibu        :    Kau dah makan dik?
      Saya      :    Belum lagi. Kejap lagi aku makanlah dengan kawan aku kat kedai depan tu.
     Ibu        :    Asyik makan kat kedai je kau ni. Abah kau bising tanya aku bila kau nak balik?
      Saya     :     Tunggu cuti nanti aku baliklah mak...

      Rakan saya terus berubah air mukanya apabila saya menyatakan bahawa saya sedang berbual bersama emak saya dalam telefon. Kata rakan saya bahasa yang saya gunakan agak biadab dan seolah-olah tidak menghormati ibu saya. Tambah rakan saya lagi, dia tidak akan sekali-kali menggunakan "aku" sebagai kata ganti nama diri apabila berkomunikasi dengan orang tuanya.Saya turut terkejut namun kemudian menjelaskan keadaan sebenar. Bukan saya biadab atau berkurang ajar namun gelaran itu sudah biasa saya gunakan. Lazimnya kebanyakkan orang yang berasal dari negeri yang sama dengan saya ataupun berketuruan Jawa seperti saya tidak melihatnya sebagai perlakuan yang kurang sopan terhadap ibubapa.

Gambar hiasan. Bukan emak saya!


    Pada pendapat saya, lain negeri lainlah kata sapaanya. Kita tidak boleh terus menilai pada pandangan pertama walaupun pandangan pertama itu sangat penting. Kenali latar belakang seseorang itu dengan baik barulah kita dapat mengkritiknya.

SEKIAN...

8 Oct 2012

Gerek! (Situasi 11)

Bismilahirahmanirahim...

Salam sejahtera buat pembaca blog sekalian...

Gerek? pernah mendengar perktaan ini? Baru-baru rakan saya telah berkongsi ilmu baru tentang definisi perkataan gerek ini. Tetapi PERHATIAN!! perkataan gerek bukanlah bahasa baku dan tidak sesuai digunakan dalam bentuk penulisan.Bagi saya yang berasal dari negeri Johor perkataan ini sering didengar dari penduduk negara jiran iaitu Singapura. Menurut kefahaman saya, gerek bermaksud sesuatu yang menakjubkan atau menarik perhatian. Contohnya apabila saya membeli pakaian baru dan rakan memuji pakaian tersebut dengan menyatakan:

"Gerek seh baju baru kau ni!"

Cantik baju Siti nurahaliza. Gerek! 


      Hal ini bermaksud baju tersebut cantik dan menarik perhatian rakan saya ini untuk memilikinya. Bagi rakan saya yang tinggal di Kedah pula definisi gerek merujuk kepada basikal. Saya terpinga-pinga apabila ditanya oleh rakan saya pada pertama kali saya mengetahui makna perkataan gerek baginya.


"Hang letak gerek hang kat mana?aku tak nampak pun?"





Gerek = Basikal.



Satu lagi definisi gerek diberi oleh rakan saya yang tinggal di luar semenanjung iaitu negeri Sabah dan Sarawak. Mereka mendefinisikan gerek sebagai kekasih hati mereka. Contoh dialog:


"Mana gerek kau? tak keluar dengan dia hari ni?"




Gambar hiasan. Gerek= Kekasih hati


Hal ini bermaksud gerek mempunyai pelbagai makna yang saya baru ketahui. Terima kasih kepada rakan-rakan saya kerana telah menambahkan lagi data korpus yang wujud dalam minda saya.


SEKIAN...